Media Permata : Oleh Mohammad Abdullah
FEB, 20/2009 (Jumaat)
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Bagi memudahkan lagi proses peralihan penuntut tahun 7 dari darjah 6, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) mengadakan sesi penyesuaian diri bagi para penuntut tahun 7. Sesi tersebut dikendalikan oleh Jabatan Bimbingan dan Kaunseling Maktab SOAS yang antara tujuannya adalah bagi memudahkan lagi penyesuaian diri penuntut tahun 7 dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Para penuntut yang memasuki alam persekolahan baru biasanya tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan sempurna selama beberapa bulan. Ini adalah kerana perangai dan sikap penuntut sendiri malu berjumpa dan berhadapan serta berkenalan dengan penuntut tahun 7 yang lain.
Dengan itu program dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam sesi penyesuaian diri tersebut, para penuntut bolehlah berinteraksi sesama sendiri dan juga berkenalan di antara satu sama lain. Aktiviti yang dilancarkan adalah direka bentuk khas bukan sahaja untuk menaikkan lagi tahap diri mereka sendiri sebagai penuntut dan individu, malah juga mengenalkan mereka pada penuntut yang lain serta memberi peluang mereka mengenali guru-guru. Para penuntut kebiasaannya malu dan takut semasa memasuki alam baru persekolahan dan dengan adanya sesi peralihan tersebut mereka mampu memberanikan diri untuk kenal mengenal dan juga menambah kawan baru.